KUALA LUMPUR – Proses menasihati pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal yang mahu balik kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya dibuat sehingga 28 April ini sahaja.
Selepas itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pelaku kesalahan atas jalan raya sepanjang musim perayaan sehingga 8 Mei depan.
Itu peringatan Pengarah Kanan Peguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan menjelang penguatkuasaan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022 di seluruh negara bermula pada 29 April hingga 8 Mei depan.
Ia selari dengan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun ini.
“Ops HRA 2022 ini akan dilaksanakan melalui pra operasi iaitu membabitkan pendekatan advokasi dan penguatkuasaan menyasarkan penunggang motosikal dengan objektif utama untuk memastikan persekitaran jalan raya di Malaysia sentiasa selamat seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya membabitkan mereka.
“Pendekatan yang digunakan ini juga selari dengan objektif penguatkuasaan JPJ untuk meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) atau kebolehlihatan penguatkuasaan bagi memastikan supaya semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya untuk keselamatan bersama.
“Lagi pun statistik pada tahun lepas menunjukkan hampir 80 peratus atau 3,112 kes daripada 4,539 kemalangan maut yang dilaporkan di atas jalan raya adalah melibatkan penunggang motosikal dan secara puratanya sebanyak lebih 60 peratus penunggang motosikal maut dalam kemalangan setiap tahun iaitu 3,118 kematian (2020) dan 3959(2019) ,” katanya ketika ditemui di Tol Sungai Besi (Arah Selatan) malam tadi.
Tambah Lokman, bermula 29 April ini, segala kesalahan yang dilakukan di atas jalan raya akan disusuli tindakan tegas khususnya membabitkan enam kesalahan utama yang tidak akan dikompaun sebaliknya akan diheret dan dituduh di mahkamah.
Antara kesalahan utama yang dimaksudkannya adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan melanggar lampu merah.
Menurut beliau, operasi berkenaan bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pengguna jalan raya sebaliknya mahu memastikan pesalah trafik tidak menyusahkan pengguna lain di atas jalan raya dengan melanggar peraturan dan juga mengheret dirinya ke dalam masalah.
“Kita mahu memastikan perjalanan balik setiap orang ke kampung halaman sentiasa sihat dan selamat serta berhemah.
“Saya berpuas hati tahap keberkesanan tempoh advokasi ini kepada penunggang motosikal dan kita akan berada di mana-mana sahaja sempena bulan Syawal nanti.
“Kita akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga agensi lain untuk menjayakan Ops HRA 2022 ini,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, JPJ juga akan menjalankan pemeriksaan ketat di semua terminal dan depoh bas ekspres dan persiaran yang akan membawa ratusan ribu orang yang akan balik kampung menuju ke arah Utara, Selatan dan juga Pantai Timur supaya mengharungi perjalanan yang selamat.
Selain itu katanya, sempena Aidilfitri kali ini, seramai 2,200 orang pegawai dan anggota JPJ di seluruh negara telah dibekukan cuti mereka dan akan bertugas di lapangan jalan raya seluruh negara.
“Malah JPJ kita di seluruh negara telah diarahkan untuk memberi fokus utama di tempat hotspot termasuk di lebuhraya nanti bagi mengelak pengguna melanggar peraturan jalan raya dan laporan harian penguatkuasaan itu akan dihantar ke ibu pejabat untuk memantau keberkesanan penguatkuasaan kami sepanjang perayaan.
“Untuk menambah lagi keberkesanan pemantauan kami, rakyat disarankan agar memberi kerjasama menjadi mata dan telinga JPJ menyalurkan aduan pesalah lalu lintas menerusi Aplikasi e-ADUAN@JPJ atau melalui aduan email JPJ
[email protected].
“Langkah pertamanya mereka perlu mendapat ID awam di dalam JPJ.com.my dan memastikan data sistem kedudukan global (GPS) diaktifkan memudahkan pengesanan lokasi.
“Setiap aduan yang dikemukakan mestilah lengkap dengan masa, tempat dan jenis kesalahan yang dilakukan beserta lampiran video dan gambar untuk memudahkan lagi siasatan dan tindakan kami terhadap pesalah lalu lintas itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette