Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa tindakan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali merupakan satu serangan terhadap badan kehakiman.

Hassan Abdul Karim yang juga Ahli Parlimen PKR berkata, siasatan yang dilakukan terhadap Mohd. Nazlan merupakan satu bentuk campur tangan yang boleh mengganggu kebebasan badan kehakiman.

Menurutnya, sebagai agensi pencegahan rasuah, SPRM bertanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

“Hakim-hakim mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

“Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang terhadap Mohd Nazlan seorang hakim Mahkamah Rayuan bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahaan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman tetapi ia juga merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman,” katanya.

Judge Mohd Nazlan Mohd Ghazali 1MDB SRC International conflict of interest Najib Razak
Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Jelas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, siasatan terhadap Mohd. Nazlan hanya boleh diambil melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh Kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau merujuk kepada tribunal bebas berkaitan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

“SPRM perlu menyedari bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.

“SPRM tidak boleh perlakukan sesuka hati ke atas seorang hakim mahkamah hanya berdasarkan wujudnya satu laporan rasmi polis dilakukan ke atas hakim tersebut.

“Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah bagaimana seorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, tindakan SPRM menyiasat hakim akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan untuk mereka untuk melaksanakan peranan dan tugas di mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan bahawa siasatan telah dimulakan terhadap dakwaan bahawa Mohd. Nazlan mempunyai “kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya”.

Tuduhan itu dibuat oleh penulis, Raja Petra Kamaruddin dalam satu artikel dan Mohd. Nazlan kemudian membuat laporan polis terhadap artikel itu.

Mohd. Nazlan ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazetre