Balu, Puan Sri Rohani Abdullah bersama ahli keluarga yang lain melihat pusara bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa selepas selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20. Foto HAZROL ZAINAL, 25 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Jenazah mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 10 di sini petang tadi.

Pengebumian dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang dalam keadaan hujan.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini selepas solat Zohor dengan diiringi lebih 500 jemaah terdiri daripada penjawat awam, ahli keluarga dan rakan taulan arwah.

Orang ramai mengaminkan bacaan doa oleh Imam Besar, Nor Azamir Alias selepas solat jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa sebelum dikebumikan hari ini di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 25 APRIL 2022.

Ali, 66, yang berkhidmat sebagai KSN selama enam tahun bermula 2012 meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland, pada Khamis lalu.

Allahyarham memegang jawatan sebagai KSN yang ke-13 berkuat kuasa mulai 24 Jun 2012 sehingga 28 Ogos 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.

Allahyarham yang dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Kluang, Johor pernah bertugas di Unit Perancang Ekonomi, JPM bermula 1997 hingga 2009 dan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Ekonomi Wilayah sejak 2003. – MalaysiaGazette