Antara aksi yang mengundang kecaman masyarakat dalam video Aliff Syukri

KUALA LUMPUR – Video raya nyanyian usahawan kontroversi Datuk Seri Aliff Syukri berjudul Kelepok Raya telah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, video yang menampilkan aksi terkinja-kinja sekumpulan penari lelaki lembut itu tidak selari dengan adab ketimuran dan ajaran Islam.

Video berkenaan menurut Idris, kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal setelah mereka menempuh ujian dan tarbiyah di dalam bulan Ramadan.

Senator Datuk Idris Ahmad.

Serentak itu, Idris meminta orang ramai agar video tersebut  tidak dikongsi di media sosial.

“Sebagai tindakan awal klip video ini telah saya rujuk kepada Jakim untuk dibawa ke pihak berkuasa.

“Nasihat saya, dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh dikeluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media atau ianya boleh di ‘private’kan hanya untuk tatapan peribadi empunya video.

“Saya yakin ianya mampu memberi jiwa yang besar dan hati yang lebih lapang jika kita patuh pada ajaran dan nilai agama yang tidak rugi pun jika kita menturutinya, malah insya-Allah Tuhan akan melapangkan lagi rezeki kepada kita atas patuhnya kita kepada Allah SWT,” katanya tanpa menyebut nama Aliff Syukri.

Sementara itu Idris menasihatkan mereka yang mempunyai pengaruh dan diberikan peluang dan rezeki oleh Allah untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

Mereka perlu menggunakan pemberian berkenaan untuk mengajak umat Islam untuk lebih takutkan Allah dan menjauhi tingkah laku yang menjarakkan diri dengan ketaqwaan dan reda Tuhan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Tambah Idris, jika ada kesempatan beliau mahu berjumpa dengan Aliff.

“Jika ada peluang, mungkin saya boleh bertemu mata bersama dengan empunya video ini sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama Islam.

“Dan mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dalam pertemuan ini,” katanya.

Video muzik lagu raya nyanyian Aliff yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuh gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi 5 minit 23 saat dianggap warganet telah dicemari gaya keterlaluan penari lelaki lembut berkenaan.

Malah, ada yang menyifatkan paparan aksi dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.-MalaysiaGazette