Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri hadir memberi keterangan bagi siasatan klip video muzik sempena Aidilfitri di MCMC Cyberjaya, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 26 APRIL 2022.

CYBERJAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tiba di ibu pejabat  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Cyberjaya bagi membantu siasatan berkaitan klip video muzik sempena Aidilfitri.

Beliau yang berkot kelabu dan berseluar hitam tiba pada jam 9.58 pagi.

Aliff yang diiringi dua individu bagaimanapun terus memasuki pekarangan bangunan SKMM.

“Maaf ye saya kena masuk ke dalam,” katanya.

Beliau diminta hadir ke SKMM bagi memberikan keterangan dan merakam keterangan berhubung klip video muzik sempena Aidilfiti yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.

Klip video raya itu yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. – MalaysiaGazette