Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan tanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir ketika pengguna pulang ke kampung sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengguna juga diminta memastikan semua soket elektrik dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung.

”Gunakan alat pengukur masa (timer) sekiranya ingin memasang lampu bagi tujuan keselamatan agar ia tidak menyala 24 jam dan periksa peralatan elektrik yang ingin terus dipasang bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan lancar,” nasihat TNB dalam kenyataan di sini.

Untuk kediaman yang akan menjadi tumpuan keluarga berkumpul pula, pengguna diminta elakkan daripada menggunakan soket elektrik secara berlebihan bagi mengelakkan beban elektrik keterlaluan, pastikan semua soket elektrik berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung.

Buka gulungan kabel penyambung ketika digunakan bagi menggelakkan ia menjadi terlalu panas sehingga mencetuskan kebakaran dan periksa peralatan elektrik yang ingin digunakan dan elakkan beban berlebihan pada soket elektrik.

Dalam pada itu, TNB menasihatkan pengguna menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB Careline atau Twitter @Tenaga_Nasional untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik. – MalaysiaGazette