Exco Pendidikan dan Teknologi Datuk Rais Yasin (tengah) bersama Naib Canselor UTeM Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM menyampaikan sumbangan zakat dan bantuan kewangan kepada pelajar UTeM

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengagihkan sumbangan bantuan sebanyak RM 64,250.00 kepada sebahagian pelajar B40 menerusi majlis Penyerahan Replila Cek dan Sumbangan Kebajikan Pelajar serta Perasmian
Program Altruistik di Dewan Pusat Sukan UTeM, Kampus Induk UTeM, semalam.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Exco Pendidikan dan Teknologi Datuk Rais Yasin dan telah dihadiri hampir 700 pelajar UTeM yang bersama mengikuti program ini.

Rais dalam ucapannya menasihati para pelajar agar menjadikan sumbangan tersebut sebagai satu dorongan dan suntikan semangat buat mereka untuk berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan.

Jelasnya, siswa-siswi UTeM perlulah merancang kehidupan di sepanjang tempoh pengajian dengan sebaik-baiknya dan menggunakan segala peluang yang ada untuk memperbaiki kehidupan dan mencapai cita-cita yang diimpikan.

Pengagihan bantuan sumbangan ini telah disampaikan kepada sebahagian daripada 145 orang pelajar B40 UTeM yang mana setiap orang menerima sumbangan kebajikan sebanyak RM250.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban pelajar UTeM dalam kumpulan B40 sejajar dengan hasrat universiti menjadikan tahun 2022 sebagai tahun kebajikan pelajar.

Sumbangan kepada siswa UTeM bukan hanya dalam bentuk tunai sahaja malahan turut diberikan dalam bentuk latihan kepimpinan altruistik kepada 6,000 orang pelajar yang melibatkan beberapa siri pelaksanaan. – MalaysiaGazette