KUALA LUMPUR – Lelaki terlibat dalam kes samun kedai runcit di Banting pada Selasa  lalu berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Hulu Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata, tangkapan dibuat selepas lelaki tempatan  yang menjadi mangsa samun membuat laporan polis.

Beliau berkata, mangsa,45, diserang oleh suspek berusia 26 tahun yang meminta wang sambil memegang sepucuk pistol.

“Semasa kejadian, mangsa telah bertindak menghalang lelaki tersebut dan telah berlaku satu pergelutan di antara pengadu dan lelaki tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ketika serbuan, polis menemui sejumlah barangan dan wang disyaki hasil daripada kegiatan samun di sekitar daerah Kuala Langat dan Klang.

“Antara barang rampasan yang dirampas adalah sepucuk pistol palsu berwarna hitam bersama satu unit kelopak tanpa peluru, sebilah pisau hulu jenama Kiwi, sekeping kad ATM debit CIMB, sekeping kad Tounch n Go, sekeping pas pekerja, sebuah telefon bimbit jenama Oppo, wang tunai campur-campur berjumlah RM87 dan sekotak rokok Dunhill,” katanya lagi.

Dengan tangkapan itu, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun di sekitar kawasan Banting, Sg Jarom dan Klang.

Antara kes yang berjaya diselesaikan adalah samun sebuah kedai runcit di Taman Rambai Indah, dua buah kedai runcit di Jalan Sg Buaya, sebuah kedai runcit di Kampung Kanchong, dua buah kedai serbaneka di Bandar Saujana Putra, sebuah klinik di Rimbayu dan samun mendatangkan kecederaan di sebuah kedai runcit di Telok Gong, Pelabuhan Klang.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek telah direman selama tiga hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting.

Kes disiasat di bawah seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu melakukan cubaan samun yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette