Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan gambar suspek selepas pihak polis berjaya menumpaskan sindiket curi kenderaan mewah dalam satu Op Klon ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Sindiket curi kereta mewah yang menukar identiti status kenderaan kepada dilupuskan dan musnah sepenuhnya bagi menggantikan identiti kenderaan yang dicuri berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sembilan lelaki tempatan berusia 30a-n hingga 40-an dicekup dalam serbuan di empat negeri sejak Disember tahun lalu hingga kelmarin.

“Satu laporan telah diterima berkaitan sebuah kenderaan mewah yang dilaporkan hilang di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara pada Disember tahun lalu.

“Susulan laporan itu, satu siasatan dijalankan yang membawa kepada penahanan sembilan suspek dan merampas 26 kenderaan mewah membabitkan Toyota Vellfire, Mercedes, BMW, Ford Ranger dan Mazda.

“Jumlah keseluruhan rampasan 26 buah kenderaan mewah itu dianggarkan bernilai RM3 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi Abu Kassim menunjukkan sebahagian kenderaan yang berjaya dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket curi kereta mewah dalam satu Op Klon ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2022.

Azmi berkata, modus operandi sindiket itu adalah menukar identiti kenderaan curi berkenaan dengan mendapatkan maklumat berkaitan kenderaan dilupus atau kenderaan disytihar musnah sepenuhnya.

“Suspek akan memperolehi maklumat identiti kenderaan menerusi satu laman sesawang insurans yang digunakannya kemudian digantikan kepada identiti kenderaan curi itu sebelum didaftarkan didaftarkan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selepas identiti kenderaan itu ditukar, setiap kenderaan curi itu akan dijual kepada pelanggan dan suspek boleh meraih keuntungan antara RM30,000 sehingga RM40,000 bagi setiap satu,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 26 laporan telah diterima berkaitan kehilangan kenderaan mewah di ibu negara sejak tahun lalu dan pihaknya percaya ada lagi laporan berkaitan dengan sindiket ini.

“Hasil semakan ada di antara sembilan suspek ini mempunyai rekod jenayah curi kenderaan. Dua daripadanya masih dalam tempoh reman mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan enam lagi sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan terdapat saki baki sindiket ini yang masih bebas dan polis sedang giat mengesan individu terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette