Mohd Yusof Man menjaga sepenuh masa isterinya Rozairah Zainuddin yang menghidap strok semasa kunjungan Program MG Prihatin 2021 di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – ‘Bagaikan sinar di hujung terowong’ itu perasaan yang tidak dapat digambarkan hati seorang suami apabila isterinya yang mengalami angin ahmar sejak Julai tahun lalu kini beransur pulih dan mampu bertutur seperti sedia kala.

Bukan itu sahaja, Mohd Yusof Man, 41, juga berasa gembira dengan keadaan isteri tersayangnya, Rozairah Zainuddin,45, kini mampu duduk di atas kerusi roda dan tidak lagi terbaring seperti sebelum ini.

Malah kedua-dua mereka kini dapat menetap di kediaman yang lebih selesa, berbanding sebelum ini di tingkat dua rumah kedai yang menyukarkan Mohd Yusof untuk membawa Rozairah mendapatkan rawatan di hospital.

“Sudah lapan tahun kami menyewa di atas rumah kedai itu tapi memikirkan keadaan agak terseksa untuk turun menggunakan tangga yang tinggi menyukarkan saya ingin membawa isteri pergi ke hospital hingga perlukan tiga atau empat orang kalau turun.

“Jika saya sendirian memang tidak berdaya. Setelah berpikir panjang, saya putuskan untuk berpindah di sini.” katanya kepada MalaysiaGazette yang berkunjung ke rumahnya.

Mohd Yusof Man

Program MG Prihatin 2022 dijalankan bersama kerjasama pelbagai syarikat korporat dan swasta mengagihkan bantuan keperluan harian dan wang tunai kepada mereka yang memerlukan.

Ia turut disertai oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang menyampaikan bantuan di bawah Program Pembekalan Barangan Asas 100 (Projek BA100).

Tambah Mohd Yusof, rumah flat yang didiaminya kini dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM750 sebulan memandangkan dia tidak boleh bekerja kerana  menjaga isteri serta seorang anaknya berusia lapan tahun.

Dengan Syawal bakal menjelma tidak lama lagi, Mohd Yusof berasa amat gembira melihat perubahan yang ketara pada fizikal Rozairah yang kini kembali sembuh walaupun belum  mampu berjalan.

“Dia masih tidak boleh nak berjalan dan buat kerja seperti sebelum ini. Kalau dulu semasa dia sihat semua kerja-kerja dia yang buat, saya cuma bantu sahaja.

“Namun saya redha dan bersyukur untuk menggalas tanggungjawab ini,” ujarnya.

Sementara itu, Rozairah juga meluahkan rasa syukur melihat keadaannya yang semakin pulih.

“Syukur alhamdulilah, dulu saya baring sahaja sampai tidak boleh buat apa-apa, sekarang sudah boleh duduk sendiri dan bercakap walaupun tidak seperti dulu,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan hari raya, pasangan ini berkata, mereka akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di kampung halaman Teluk Intan, Perak dalam keadaan sederhana.

Editor Malaysia Gazette, Haslina Ar Kamaludin menyampaikan sumbangan kepada Rozaira Zainuddin dan suaminya, Mohd Yusof Man pada Program CSR MG Prihatin di Desa Mentari Petaling Jaya, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 26 ARIL 2022.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast