KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Sistem Putra Buddies untuk membantu pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) menjalani aktiviti harian mereka sebagai menyokong Dasar Inklusif OKU UPM.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, sukarelawan UPM yang berdaftar melalui sistem Putra Buddies akan menjadi pemudahcara dan memberi bantuan dan sokongan sewajarnya mengikut keperluan pelajar OKU serta ketidakupayaan mereka.

”Kami mengalu-alukan pelajar UPM ingin membantu pelajar OKU agar mendaftar di dalam sistem Putra Buddies terlebih dahulu untuk menghulurkan bantuan mengikut kaedah dan cara yang betul.

”Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UPM di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa OKU dan Majlis Perwakilan Pelajar akan membantu mengenalpasti 57 orang pelajar OKU yang memerlukan khidmat Putra Buddies,” katanya yang merupakan penaung Putra Buddies.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Mahasiswa OKU UPM, Faisal Ahmad Raju berkata, pelancaran Persatuan Mahasiswa OKU UPM akan menjadi titik tolak suara pelajar OKU di dewan pelajar nanti dimana persatuan ini akan turut membantu Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar dalam melaksanakan aktiviti, kebajikan dan sokongan kepada pelajar OKU.

”Persatuan ini baharu didaftarkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar pada tahun ini sejak penubuhannya pada tahun 2017 dengan misi untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan pelajar OKU,” katanya.

Sistem Putra Buddies dan persatuan tersebut dilancarkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman semasa Program Iftar Mega Putra 2.0 di Dataran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) di sini baru-baru ini. Pengerusi Putra Buddies dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Nuruliman Ibrahim turut hadir. – MalaysiaGazette