KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk membantu siasatan inkuiri yang dimulakan dalam siasatan kematian bayi sindrom down berusia 10 bulan bernama Adam Rizqi Abdul Azim pada 3 Mei 2020.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis telah membuka kertas inkuiri untuk menentukan sama ada wujud elemen jenayah dalam kematian bayi tersebut.
“Setakat ini kita merakam keterangan dari beberapa individu dalam kes ini termasuk Siti Bainun (akan dipanggil).
“Kita sepatutnya merakam keterangan daripada wanita itu beberapa hari yang lalu tetapi kami membuat keputusan untuk menangguhkan proses itu kerana dia sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Jalan Duta,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Op Selamat Kontinjen Kuala Lumpur di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun H.S.Lee oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.
Siti Bainun kini dalam perbicaraan kes penderaan remaja Down Sindrom yang dikenali sebagai Bella tahun lepas.
Berikutan kes Bella, beberapa pihak termasuk NGO mendesak polis supaya membuka semula kertas siasatan kes kematian Baby Adam selepas mendakwa berkemungkinan wujud unsur penderaan memandangkan bayi berkenaan juga pernah berada di bawah jagaan rumah Bonda.
Pun begitu, polis berkata, Baby Adam meninggal dunia akibat penyakit pneumonia menerusi proses bedah siasat yang dilakukan ketika itu.
Justeru dalam perkembangan berkaitan, Ashari berkata, polis juga akan memanggil individu yang dikenali sebagai Cikgu Fadli yang mendakwa dalam media sosial kononnya tiada proses bedah siasat dilakukan ke atas mayat Baby Adam.
“Kami sedang mengesan lelaki itu yang menyebarkan dakwaan yang tidak berasas dan sekadar spekulasi itu, kami nak tahu daripada mana dia memperolehi maklumat bahawa baby Adam tidak dilibatkan dalam bedah siasat selepas kematiannya.
“Dakwaan individu itu dalam media sosial telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan awam dan membawa kepada tanggapan kononnya polis tidak melakukan siasatan yang sebaiknya dalam kematian Baby Adam.
“Lelaki itu sebelum mengeluarkan kenyataan seumpama dalam media sosial sepatutnya merujuk polis terlebih dahulu dan mendapatkan fakta kes itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette