Salpiah Sabtu, 61, menitis air mata selepas suaminya terpaksa dipotong kaki kiri susulan terpicak kaca yang membawa kepada jangkitan kuman ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Seri Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Perasaan sebak menyelebungi seorang isteri selepas diberitahu bahawa suami tercintanya, Ab Manap Jaapar, perlu dipotong kaki.

Sapiah Sabtu, 61, tidak dapat menahan air mata apabila terbayang kehidupan suaminya yang sebaya dengannya selepas ini yang perlu berkerusi roda sepanjang hayat.

“Masa doktor beritahu suami saya akan dipotong kaki kirinya, saya amatlah sedih. Saya dah terbayang macam mana dia nak berjalan nanti.

“Sebelum ini kami boleh berjalan berdua, tapi kali ini mungkin suami saya berkerusi roda dan sayalah yang akan menjadi kaki kirinya hingga akhir hayat” kata Sapiah ketika MalaysiaGazette menyantuninya di Pangsapuri Seri Malaysia di sini hari ini.

Salpiah Sabtu, 61, bergambar selepas menerima sumbangan ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Seri Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

Kunjungan tersebut bagi mengagihkan bantuan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan memerlukan dalam menjayakan Program MG Prihatin 2022.

Program berkenaan hasil kerjasama MalaysiaGazette dengan penyertaan pelbagai syarikat korporat dan swasta.

Mengulas lanjut, Sapiah mengakui dia tidak kuat untuk menghadapi dugaan seberat itu namun itulah erti seorang ibu yang tidak sesekali menunjukkan kelemahannya di hadapan anak-anak.

“Mak cik memang tak kuat nak hadap ujian ini, tapi anak-anak tak kuat kalau mereka lihat mak cik terus terduduk. Kalau bukan kerana anak, jiwa mak cik dah tersungkur,” luahnya diiringi tangisan air mata.

Tambahnya, dia tergamam apabila dimaklumkan oleh doktor baru-baru ini bahawa suaminya perlu melalui dugaan berat yang tidak pernah disangkanya.

“Doktor kata suami makcik tiada masalah kesihatan. Tiada kencing manis, tiada darah tinggi tapi luka terpijak kaca masih tak sembuh sampai kena potong kaki sebab jangkitan kuman. Secara jujur makcik sangat terkejut,” katanya.

Bagaimanapun Sapiah bersyukur mempunyai anak-anak yang berjiwa besar dan sanggup membalas jasa keringat seorang bapa yang membesarkan mereka hasil bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Alhamdulillah, Allah bagi mak cik anak-anak yang baik, semua bersatu hati tolong ayah mereka dan bantu mak cik ringankan kepiluan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette