Seramai 145 orang dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Stulang Baru, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Seramai 145 individu, termasuk penjaga premis dan 10 warga asing, ditahan dan dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan dalam Op Hiburan berumur antara 30 hingga 42 tahun itu dikompaun sebanyak RM1,000 seorang.

“Nasihat saya pada mereka-mereka yang terlibat dalam aktiviti pusat hiburan ini supaya membuat permohonan lesen. Mendapatkan lesen yang sah dan juga patuhilah peraturan.

“Ramai masyarakat diluar sana mengadu pada pihak polis tentang aktivi-aktiviti di pusat hiburan terutama di kawasan Johor Bahru ini. Yang mana mereka tidak mempunyai lesen yang sah dan juga mereka tidak mematuhi peraturan SOP yang kita telah tetapkan,” katanya ketika ditemui di OP hiburan di Stulang Baru, di sini.

Menurut Kamarul Zaman, mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi proses dokumentasi dan ujian saringan air kencing mendapati seorang wanita dan tiga lelaki positif dadah jenis ketamin dan benzo.

Empat individu itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ujarnya.

Kamarul Zaman berkata, dalam operasi tersebut pihaknya turut merampas pelbagai peralatan elektronik hiburan berjumlah RM20,000.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor dan Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021. – MalaysiaGazette