Keadaan salah sebuah kenderaan mangsa yang rosak teruk apabila cuba mengelak seeokor gajah melintas di Kilometer 70 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang.

KLUANG – Dua buah kereta terlibat kemalangan ketika cuba mengelak seekor gajah yang sedang melintas di Kilometer 70 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superitendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu kereta Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berumur 21 tahun dari arah Kluang telah berhenti secara mengejut bagi mengelak seekor gajah yang sedang melintas jalan.

“Sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah yang sama gagal mengelak lalu terlanggar Perodua Alza berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua kereta berkenaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan berlaku.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59), ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razak mengingatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah, berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Pengguna jalan raya di daerah Kluang juga dinasihatkan supaya berwaspada di jalan raya tertentu di mana ada lintasan binatang liar seperti gajah, tapir dan lain-lain,” katanya. -MalaysiaGazette