KUALA LUMPUR – Seluruh Keluarga Malaysia dijemput menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli Jemaah Menteri pada 8 Mei ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan majlis itu bermula dari 10 pagi hingga 4 petang di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

“Semua yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard terkini semasa Fasa Peralihan Ke Endemik dan digalakkan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal,” menurut JPM.

Hantaran itu turut melampirkan poster panduan pakaian dan maklumat perkhidmatan bas percuma untuk ke majlis tersebut.

Berdasarkan poster itu, pakaian yang dibenarkan ialah baju berlengan, seluar panjang, skirt bawah paras lutut dan berkasut manakala pakaian yang dilarang ialah seluar pendek bawah paras lutut, skirt pendek atas paras lutut, baju tidak berlengan, seluar jeans koyak dan selipar.

“Orang ramai hendaklah berpakaian kemas dan sopan. Kegagalan mematuhi etika pemakaian ini boleh mengakibatkan anda tidak dibenarkan memasuki Kompleks Seri Perdana,” menurut petikan di poster itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal dan media sosial JPM dari semasa ke semasa.  – Bernama