Saifuddin Nasution bersama Lim Guan Eng.

PETALING JAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR berkata, berbanding dengan lawannya, Mohd. Rafizi Ramli, beliau lebih mudah bekerjasama dengan DAP.

Saifuddin Nasution berkata, sudah menjadi “rahsia terbuka” bahawa Mohd. Rafizi mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan mereka tidak boleh berbincang.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, keadaan itu berlaku kerana sifat peribadi Guan Eng dan Mohd. Rafizi seperti juga dirinya mempunyai keperibadian yang berbeza dengan Mohd. Rafizi.

Tambah Saifuddin Nasution, walaupun dirinya juga bertekak dengan Guan Eng dalam bilik mesyuarat sehingga menepuk meja, tetapi beliau akan menyapa pemimpin DAP itu di luar bilik mesyuarat.

Kata Saifuddin Nasution, Guan Eng pernah melantiknya sebagai penasihat strategi kerana percaya beliau dapat membantu kerajaan negeri Pulau Pinang mendapat sokongan orang Melayu.

Jelasnya, jawatan itu diberi bukan atas cadangan Mohd. Rafizi.

“Saya kenal Mohd. Rafizi dan saya tahu bahawa beliau sedar apa yang dicakap adalah tidak tepat. Demi mengukuhkan perjuangan, beliau sanggup melakukan sesuatu yang boleh menghasilkan berita,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Mengenai jawatan setiausaha agung yang dipegangnya pula, Saifuddin Nasution berkata, beliau tidak pernah meninggalkan parti dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail merupakan orang yang melantiknya untuk memegang jawatan itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa Mohd. Rafizi pernah memujuknya kembali untuk menjadi setiausaha agung parti.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, kenyataan Mohd. Rafizi bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu menunggu sehingga pilihan raya umum ke-16 untuk mentadbir Putrajaya merupakan persediaan untuk diri sendiri, bukan persediaan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saifuddin Nasution berkata, beliau sendiri pula tidak akan menyebarkan mesej yang negatif.

“Kamu tidak boleh meminta pengundi atas pagar untuk mengundi saya tetapi pada masa yang sama memberitahu mereka bahawa saya tidak akan menang kali ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata, beliau mengekalkan hubungan baik dan “hubungan yang boleh berborak” masing-masing dengan Mohd. Rafizi dan Nurul Izzah Anwar.

“Jika Nurul Izzah menyokong Mohd. Rafizi, saya boleh faham ini merupakan proses demokrasi dalam parti dan tiada sebabnya untuk saya bermusuhan dengan beliau,” katanya. – MalaysiaGazette