Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah beramah mesra pada Program Menyantuni Petugas Kesihatan di Hospital Putrajaya, Wilayah Persekutuan. Foto MUHD NA'IM, 02 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 15 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara.

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 37.1 peratus di mana kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah juga menurun sebanyak 34.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital juga menunjukkan penurunan sebanyak 33.8 peratus.

“Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 30 April 2022 (ME 17/2022), kumulatif kes baharu adalah sebanyak 4,448,004 kes  di mana kes aktif adalah sebanya 45,506 kes.

“Manakala kumulatif kes sembuh adalah sebanyak 4,366,951 kes dan kumulatif kes kematian adalah 35,547 kes,” jelasnya.

Beliau turut berkata, kumulatif kluster adalah 7,010 kluster dengan aktif sebanyak 84.

Dalam pada itu, bilangan kes sembuh pada ME 17/2022 menurun sebanyak 21.9 peratus (72,128 kes kepada 56,352 kes) berbanding ME 16/2022.

“Bilangan kes baharu pada ME 17/2022 menurun sebanyak 53.1 peratus (44,665 kes kepada 20,937 kes)

“Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 52.8 peratus (44,193 kes kepada 20,876 kes) dan bilangan kes import menurun daripada 472 kes kepada 61 kes,” katanya.

Jelas beliau, bilangan kes kematian pada ME 17/2022 menurun daripada 82 kepada 56 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM memaklumkan survelan Covid-19 telah dijalankan sepanjang pandemik dan masih diteruskan semasa fasa peralihan ke endemik di beberapa klinik kesihatan sentinel dan hospital sentinel di seluruh negara.

Survelan Covid-19 dijalankan ke atas sampel pesakit yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan yang ringan atau pun teruk. – MalaysiaGazette