Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bergambar bersama petugas pada Program Menyantuni Petugas Kesihatan di Hospital Putrajaya, Wilayah Persekutuan. Foto MUHD NA'IM, 02 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menutup Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat ekoran jumlah pesakit yang semakin berkurangan.

“PKRC di MAEPS tiada pesakit dan sekarang kita mungkin akan tutup pada bulan ini dan kita telahpun siapkan PKRC di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan satu lagi PKRC mini hospital Putrajaya,” katanya kepada media selepas hadir dalam program menyantuni petugas kesihatan sempena Hari Raya Aidilfitri di Hospital Putrajaya hari ini.

PKRC MAEPS sebelum ini dibuka semula bagi tujuan merawat pesakit Covid-19 berisiko rendah dan ia antara strategi diambil pihaknya ketika penularan gelombang Omicron.

PKRC MAEPS yang akan ditutup itu kata Dr. Noor Hisham akan diganti dengan dua PKRC lain iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahihah dan Hospital Putrajaya.

“Walaupun ia masih tidak digunakan (Hospital Tengku Ampuan Rahihah dan Hospital Putrajaya) sebab pesakit semakin berkurangan. Kalau kita lihat 99.5 peratus adalah kategori 1 dan 2.

“Kemasukan kes tiga dan empat semakin berkurangan sekali dan kita masih ada kemampuan untuk menerima pesakit dan ini untuk kita siap siaga sahaja sekiranya diperlukan,” katanya lagi.

Untuk rekod, PKRC MAEPS 2.0 ditutup secara rasmi pada 8 Februari lalu dan sepanjang 14 bulan beroperasi, sebanyak 166,072 pesakit COVID-19 sudah dirawat dan ia secara tidak langsung meringankan beban hospital di Semenanjung. – MalaysiaGazette