Gambar hiasan

BULAN Ramadan sudah berakhir. Kebanyakan perokok telah mula biasa dengan pengurangan aktiviti merokok setelah sebulan berpuasa. Namun hakikatnya ramai yang kecundang saat Syawal menjelang tiba. Semangat untuk berhenti merokok ini boleh dibantu dengan kaedah psikologi untuk memastikan ia berjaya. Dari segi kognitif, antara perkara-perkara yang boleh diambil kira adalah pengetahuan, jangkaan dan pendirian.

Melalui pengetahuan, anda boleh meneliti informasi berkaitan berhenti merokok di internet contohnya dengan melayari laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my/. Talian Whatsapp infoline Aduan Merokok: 010-8608949 menawarkan khidmat pertanyaan mengenai wabak Covid-19 dan rokok. Media sosial lain yang memberi maklumat tentang berhenti merokok juga tersedia seperti di Telegram: @BantuanBerhentiMerokok, Twitter: @MquitK dan YouTube: mQuit Channel. Dengan memahami prosedur dan kaedah yang ditawarkan, anda boleh menyusun perancangan dengan lebih teliti.

Menetapkan jangkaan positif dengan mencari satu sebab utama untuk berhenti merokok mampu merangsang semangat. Antaranya demi kesihatan anak-anak, kebebasan kewangan, malah untuk meningkatkan penampilan diri. Tampalkan matlamat tersebut di tempat yang mudah dilihat ahli keluarga atau kawan-kawan bagi mendapatkan sokongan persekitaran. Beri penghargaan kepada diri sendiri untuk matlamat kecil yang tercapai. Dengan matlamat yang jelas, galakan dari orang terdekat dan penghargaan akan menambah keyakinan dan kekuatan ke arah berhenti merokok.

Individu perlu berpendirian kuat bahawa aktiviti merokok memberi impak negatif supaya mengelak dari kembali merokok. Ada sesetengah perokok yang belum sepenuh hati ingin berhenti kerana kebiasaan memegang, menyalakan dan menghisap rokok. Mereka perlu mengelakkan diri dari menyimpan stok rokok di tempat kebiasaan atau berikan pada individu lain sebagai langkah mengawal bilangan atau kekerapan merokok tersebut.

Sekiranya di bulan Ramadan mereka mampu untuk kurangkan bilangan merokok daripada sekotak kepada lima batang sehari, kekalkan momentum tersebut dan cuba capai bilangan yang lebih rendah untuk bulan-bulan seterusnya sehingga tidak lagi merokok. Apabila domain kognitif telah ditetapkan, maka tingkah laku juga akan terkesan. Antara perkara-perkara yang boleh membantu perubahan tingkah laku termasuklah kemahiran, kecekapan diri dan kebiasaan dalam memilih kaedah untuk berhenti merokok.

Individu yang ingin berhenti merokok perlu mempunyai kemahiran untuk memperolehi kaedah yang selesa dan berkesan untuk diri sendiri. Antaranya pengambilan ubatan, tampalan nikotin atau pengambilan gula-gula getah nikotin. Namun, kekangan waktu pekerjaan dan kesukaran mengurus masa pengambilan ubatan/ tampalan nikotin boleh mengganggu perjalanan berhenti merokok. Jangan risau untuk berbincang dengan pakar kesihatan cara terbaik dan kaedah yang sesuai dengan aktiviti seharian bagi meningkatkan rasa yakin dengan kemampuan untuk kesan jangka masa panjang. Kaedah berhenti merokok adalah bersifat spesifik kepada individu. Oleh itu, anda boleh menilai diri dan selaraskan dengan kaedah yang paling mudah diikuti dan berkesan.

Mereka yang mengalami relaps kadangkala menyalahkan diri kerana gagal untuk memberi komitmen terhadap kaedah yang telah dipilih. Perasaan itu mengurangkan lagi tahap kepercayaan kepada diri sendiri untuk berjaya. Bagi meningkatkan kecekapan diri, berikan ganjaran kepada diri sendiri untuk setiap matlamat kecil yang telah tercapai kerana ia dapatmengimbangi perasaan negatif tersebut. Galakan penghargaan dari orang terdekat akan menambahkan kepercayaan dalam diri dan lebih bermotivasi untuk berhenti merokok.

Ada juga yang mengadu bahawa merokok memberikan keselesaan selepas makan, maka ia menjadi rutin harian. Bagi mereka yang ingin berhenti merokok, mereka perlu mengalihkan perhatian merokok dengan mengubah kebiasaan dengan mengunyah gula getah atau gula-gula berangin yang rendah kandungan gula. Dengan kesesuaian berikut, anda akan lebih selesa untuk menukar rutin secara perlahan-lahan. Perubahan tidak mengambil masa yang singkat. Elakkan meletakkan perancangan yang terlalu ideal sehingga terasa sukar untuk dicapai. Percaya kemampuan diri dan teruskan rutin baru ini
walaupun berakhirnya bulan Ramadan.

Nurul Izza Idaham
Pensyarah, Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &

Dr. Syatirah Najmi Abdullah
Pensyarah Kanan, Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast