Myvi pickup truck crash accident
Keadaan kereta yang remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Selancar, Muadzam Shah.

KUANTAN – Seorang warga emas yang menaiki kereta bersama tiga lagi penumpang maut selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah trak pikap ketika cuba mengelak daripada melanggar lopak air di Selancar, Muadzam Shah petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud berkata, mangsa meninggal dunia`di tempat kejadian manakala pemandu dan dua lagi penumpang cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor.

Arbaain Aziz, 76, meninggal dunia akibat cedera parah dan pendarahan kepala duduk di belakang kereta ketika tragedi di Aidilfitri.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila trak pikap dalam perjalanan dari Felda Keratong hendak menuju ke Selancar 3.

“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba trak pikap terlanggar lopak air lalu terbabas dan berpusing ke lorong bertentangan secara mengejut dan melanggar kereta Myvi tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang gagal mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dalam trak pikap tidak mengalami kecederaan dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kamarulzaman mengingatkan agar semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ketika menggunakan jalan raya terutamanya semasa musim perayaan ini. – MalaysiaGazette