Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Sebelas individu daripada dua keluarga di Kampung Sri Gambut di Pontian, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian menerusi kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya pada pukul 9.30 pagi tadi.

“Hujan lebat lebih dua jam bermula pukul 3.30 pagi tadi telah mengakibatkan beberapa rumah di Kampung Sri Gambut dinaiki air.

“Keadaan cuaca di kawasan berkenaan masih mendung dan pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan di kawasan berisiko dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagaimanapun, Sekretariat JPBD Pontian memaklumkan tiada laporan kemalangan jiwa direkodkan setakat ini. – MalaysiaGazette