Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

BANGKOK – Polis Thailand menahan seorang lelaki kerana menceroboh zon larangan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan cuba menaiki pesawat yang tiada penumpang.

Pengarah lapangan terbang, Kittiphong Kittikhajorn berkata, kejadian berlaku pada 11.50 pagi Selasa, apabila lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah itu menunggang motosikal dan menuju ke kawasan lapangan terbang.

Beliau berkata pihak keselamatan lapangan terbang telah dimaklumkan dan memantau pergerakan lelaki berusia 34 tahun itu menerusi kamera litar tertutup.

“Lelaki itu cuba menaiki pesawat yang baru menurunkan penumpang.

“Dia bersenjatakan kapak dan ditahan pada 12.03 tengah hari ketika cuba memasuki bangunan penumpang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kittipong memberi jaminan kejadian itu tidak menjejaskan perkhidmatan di lapangan terbang.

“Pihak keselamatan telah mengambil semua langkah yang perlu dan mematuhi prosedur operasi standard untuk memastikan keselamatan semua penumpang,” katanya.

Lelaki itu mengalami kecederaan ringan dan kini ditahan di balai polis Suvarnabhumi.

Polis turut merampas sepucuk pistol replika, gunting, sebilah kapak dan pil methamphetamine daripada lelaki itu.

Ketua Polis Suvarnabhumi, Kolonel Jirawat Piempinsreth berkata, lelaki itu didakwa dengan lapan pertuduhan termasuk menyebabkan kerosakan harta benda dan membawa senjata di khalayak ramai tanpa sebab munasabah. – Bernama