SEMPADAN negara perlu diperketat dan diperkukuh secepat mungkin. Tiada penangguhan boleh dilakukan oleh pihak kerajaan ke atas isu ini kerana keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi sama sekali. Ketatkan segara sempadan Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura. Jika Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) perlu dihidupkan semula
dan diberi nafas baru, pihak berwajib perlu lakukannya dengan kadar segera. Jangan bagi sebarang kelopongan di sempadan negara kerana hal ini bakal memberi peluang kepada pihak pengganas.
Asia Tenggara sebenarnya tidak pernah terlepas daripada ancaman kumpulan pengganas. Pihak Central Intelligent Agency (CIA) yang berpengakalan di Amerika Syarikat pernah mengeluarkan amaran ancaman kumpulan teroris di Asia Tenggara yang berjumlah 5 buah kumpulan utama. Kumpulan utama ini terdiri daripada:
1. ISIS-associated Jemaah Anshorut (JAD),
2. Jaringan Islamic State of Iraq and ash-Sham (ISIS),
3. Jemaah Islamiyah (JI),
4. Abu Sayyaf Group (ASG),
5. Communist Party of the Philippines/New People’s Army (CPP/NPA).
Walaupun nampak seperti kumpulan-kumpulan ini berada jauh daripada peta geografi Malaysia, namun perlu ditekankan bahawa ideologi pengganas kini boleh masuk ke dalam negara secara tanpa wayar, tanpa kertas dan tanpa ruang fizikal. Alam maya boleh menjadi medan penyampaian ideologi pengganas. Namun, dari sudut fizikalnya, kumpulan terhampir dengan sempadan dan wilayah Malaysia ialah kumpulan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiyyah.
Ketatkan sempadan fizikal dan maya negara
Walaupun digitalisasi seperti IR4.0, IR 5.0 dan seterusnya menguntungkan negara kerana peluang dan ruang untuk meningkatkan prestasi ekonomi, sosial dan politik bertambah luas namun ianya juga datang dengan penyalahgunaan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini dapat dilihat dengan pencerobohan ke atas sempadan negara sama ada air, udara atau darat yang sering kali berlaku. Dalam hal ini, sempadan fizikal perlu dinilai semula tahap kawalan dan keselamatannya.
Apakah punca yang menyebabkan wujudnya lorong tikus. Apakah ianya boleh dihapuskan dan bagaimana untuk memastikan sifar pencerobohan ke atas wilayah dan tanah Malaysia yang berdaulat ini. Apakah ada masalah dengan kekuatan sumber tenaga dan sumber peralatan keselamatan. Jika ada kekurangan di dalam mana-mana aspek untuk kualiti mutu dan kualiti kawalan sempadan negara maka tindakan sesegera mungkin sebolehnya diambil oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Lain pula halnya dengan sempadan maya negara. Isu ini lebih rumit kerana ianya sebuah sempadan yang tidak jelas dimata namun jelas impak dan kesannya kepada negara. Hal ini dibuktikan pada tahun 2015 yang lalu apabila sekumpulan pemuda dan pemudi negara yang ditangkap kerana ingin menyertai kumpulan ISIS. Dari mana datangnya idea ini jika tidak melalui ideologi pengganas di alam maya. Sebuah video ketua kumpulan pengganas yang mengajak dengan penuh semangat walaupun seruannya itu bertentangan dengan kaedah-kaedah jihad namun ianya mendapat sambutan. Inilah sempadan maya yang perlu diambil perhatian serius oleh pihak berwajib.
Tingkatkan program keselamatan dan pembangunan (KESBAN)
Umum mengetahui bahawa KESBAN adalah sebuah program terancang oleh pihak kerajaan yang dipelopori oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1970. Walaupun idea asalnya adalah untuk menangani ancaman komunis, namun ianya dilihat sangat relevan sehingga ke hari ini. Kita mengetahui bahawa ancaman keselamatan kini bersifat tradisional dan bukan tradisional. Kedua-duanya adalah relevan dan tidak boleh dilepaskan salah satu. Keselamatan tradisional terbukti relevan dengan perang di antara Russia dan Ukraine yang sedang berlaku dan dijangka akan berlarutan sehingga ke Laut Hitam yang seterusnya memberi impak negatif kepada keselamatan bukan tradisional seperti keselamatan makanan dan keselamatan insan.
Di dalam hal ini, ancaman pengganas boleh berlaku di dalam kedua-dua keadaan sama ada ancaman kepada keselamatan tradisional atau bukan tradisional. Maka, tiada pilihan selain mengukuhkan program KESBAN negara sebolehnya dengan kadar segera dan melibatkan pelbagai aktor termasuklah aktor bukan negara (non-state actors) seperti ahli penyelidik. Jika tidak diambil tindakan segera, dibimbangi ideologi teroris akan menjadi satu masalah kepada negara seperti ancaman kumpulan Abu Sayyaf yang telah diingatkan oleh pihak keselamatan Malaysia. Amaran seumpama ini juga diberikan oleh pihak keselamatan Filipina dan pengkaji keselamatan yang lainnya bahawa gerakan dan ideologi kumpulan ini masih lagi berjalan dan sentiasa memperluaskan pengaruhnya.
Mohd Ramlan Mohd Arshad,
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Bersekutu, Institute for Indonesia, Thailand and Singapore, UUM-ITS