Hospital Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mengesa Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan jawatankuasa inkuiri khas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang berhubung di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Jelas beliau, dalam masa sama siasatan itu juga bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang terutamanya membabitkan doktor-doktor pelatih di negara ini.

“KKM dan pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menjelaskan kejadian yang berlaku.

“Selain itu, mereka (KKM) juga harus mengkaji serta merombak semula sistem pengurusan sedia ada sekiranya perlu terutamanya membabitkan tempoh masa penugasan doktor di institusi-institusi perubatan kini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Chow Kon Yeow.

Tambah Kon Yeow, KKM tidak wajar berdiam diri dan membiarkan perkara ini berterusan.

“Strategi serta jalan penyelesaian yang wajar perlu disegerakan demi jaminan sistem perubatan negara kita secara menyeluruh,” tegas beliau.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes kematian seorang doktor praktikal di HPP yang ditemui jatuh dari bangunan kediamannya di Dato Keramat di sini, pada 17 April lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ma’arof Sudin berkata, pihak polis telah mengarahkan bedah siasat dijalankan dan siasatan dikendalikan oleh mereka.

“JKNPP mengesahkan bahawa mendiang merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke negeri Pulau Pinang dan ditempatkan di HPP pada 4 April yang lalu.

“Mendiang telah ditemui jatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu dan adalah dimaklumkan bahawa kes ini adalah di bawah siasatan polis yang telah mengarahkan bedah siasat dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette