Para petugas PERSADA PLUS memantau paparan skrin bagi mengawasi kelancaran trafik kenderaan yang mula pulang ke ibu kota selepas selesai cuti umum Raya Aidilfitri di semua lebuhraya seluruh negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat PERSADA PLUS,Petaling Jaya Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 MEI 2022.

PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya utama negara menghala ke ibu kota mula sesak di beberapa lokasi untuk perjalanan dari arah utara serta selatan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pusat Kawalan Trafik Persada PLUS di sini mendapati, setakat jam 5.15 petang tadi, aliran trafik mula bergerak perlahan susulan pertambahan jumlah kenderaan dari semua arah.

Antara kawasan yang mengalami kesesakan dari arah utara adalah di Juru dengan trafik bergerak perlahan menghala ke Jawi kira-kira tiga kilometer.

Turut terjejas adalah di Sungai Perak menuju ke Ipoh apabila pertambahan kenderaan menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan, namun masih terkawal.

Dalam pada itu, terdapat peningkatan trafik di beberapa kawasan lain seperti di Slim River menghala ke Bidor dan Gua Tempurung dengan jangkaan kelewatan kira-kira 20 minit daripada kebiasaan.

Para petugas PERSADA PLUS memantau paparan skrin bagi mengawasi kelancaran trafik kenderaan yang mula pulang ke ibu kota selepas selesai cuti Raya Aidilfitri di semua lebuhraya seluruh negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat PERSADA PLUS,Petaling Jaya Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 MEI 2022.

Selain itu, kesesakan trafik turut melibatkan arah selatan dengan pergerakan trafik yang terbatas dari Port Dickson menghala ke Nilai dan Ayer Keroh ke Simpang Ampat susulan aliran lalu lintas yang semakin meningkat.

Sementara itu, menurut salah seorang jurucakap PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pertambahan kenderaan tersebut mungkin disebabkan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti di kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri.

Susulan itu, PLUS menasihatkan pengguna jalan raya untuk merancang waktu perjalanan supaya dapat sampai ke destinasi dengan lancar. – MalaysiaGazette