KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memohon maaf kerana membuat ramalan Pakatan Harapan (PH) memerlukan dua lagi Pilihan Raya Umum (PRU) untuk merampas kembali Kerajaan Persekutuan.
Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, beliau bukan berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak, sebaliknya hanya cuba memberi bayangan senario yang terburuk mungkin berlaku pada dua PRU itu kelak.
Bercakap dengan akhbar harian Berita Harian, kata Izzah, ramalan itu dibuat selepas beliau melihat perubahan drastik dalam lanskap politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya fikir kita kena berhati-hati dan bersedia untuk apa jua senario kelak.
“Saya minta maaf kepada semua andainya kenyataan saya sebelum ini mengguris hati mana-mana pihak. Ada jangkaan kita akan mendapat undi dari pengundi atas pagar, soalnya bagaimana jika mereka tidak undi? Kita perlu berhati-hati,” katanya dalam temuramah itu.
Baru-baru ini Nurul Izzah meramalkan Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurang lima tahun atau dua pusingan PRU lagi untuk kembali menguasai Putrajaya.
Beliau berkata, PH juga diramal bakal menghadapi laluan sukar dan mungkin kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti.
Bagaimanapun kenyataan itu mendapat kritikan pelbagai pihak rata-ratanya pimpinan dalam kalangan PH itu sendiri yang mahu Nurul Izzah untuk tidak begitu yakin dalam meramalkan parti gabungan pembangkang itu akan kalah pada PRU nanti. -MalaysiaGazette