Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud (kanan)

KUANTAN – Sebanyak 561 kes kemalangan dilaporkan sepanjang Op Selamat 18 di Pahang dalam tempoh enam hari bermula 29 April sehingga semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sejumlah 11,112 saman dengan pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pahang kepada pesalah trafik.

Katanya, saman paling banyak dikeluarkan membabitkan kesalahan pandu laju diikuti saman halangan, lesen memandu, nombor plet, tali pinggang, lesen memandu tamat tempoh, lampu brek, menggunakan telefon, cermin sisi dan tiada label P/L.

Tambah Ramli, sebanyak sembilan kes kemalangan maut dilaporkan melibatkan 10 kematian, empat kes cedera parah dan satu kes cedera ringan turut dilaporkan dalam tempoh terbabit.

“Pecahan kenderaan terlibat kemalangan maut melibatkan enam kes membabitkan motosikal, empat motokar, dua kes lori dan sebuah motojip.

“Bagi kemalangan maut melibatkan satu kes di jalan bandaran, dua kes di jalan negeri, lima kes di jalan persekutuan dan satu kes lain-lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

Menurut Ramli, sebanyak 253 kes kemalangan rosak di jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan negeri.

Sementara itu, beliau memberitahu, polis telah membuat 19 tangkapan individu yang berumur antara 18 sehingga 42 tahun di bawah pelbagai kesalahan dalam Op Selamat 18.

Tangkapan tersebut dilakukan di bawah seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 42 (1) APJ 1987, Seksyen 108 (3) APJ 1987 Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen. – MalaysiaGazette