covid-19
Gambar hiasan

SYDNEY – Pihak berkuasa negeri New South Wales (NSW) menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin menjelang musim selesema kerana kes influenza meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Laporan pengawasan pernafasan NSW yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan terdapat 1,024 kes influenza baharu pada minggu berakhir 30 April berbanding 478 kes pada minggu sebelumnya.

Perkadaran positif telah meningkat daripada 3.1 peratus kepada 5.5 peratus.

“Selain peningkatan kes selesema, kami melihat lebih ramai penghidap selesema datang dan dimasukkan ke hospital, termasuk dalam kalangan kanak-kanak kecil,” kata Ketua Pegawai Kesihatan NSW, Kerry Chant.

Chant menyatakan kanak-kanak kecil harus berhati-hati kerana ramai kanak-kanak mengalami sedikit atau tiada pendedahan kepada selesema sejak dua tahun lalu disebabkan oleh langkah kesihatan awam Covid-19.

“Kami amat menggalakkan ibu bapa kanak-kanak berumur antara enam bulan dan lima tahun untuk memberi mereka vaksin tanpa berlengah-lengah.”

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan menambah selesema sedang merebak secara meluas dalam masyarakat, seiring dengan tahap penularan Covid-19 yang tinggi.

Penduduk diberitahu bahawa mereka selamat untuk mendapatkan kedua-dua vaksin Covid-19 dan vaksin selesema pada masa yang sama. – Xinhua (https://english.news.cn/asiapacific/20220505/2570acdf64794adb9592bc513c0b02cc/c.html)