PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PASIR MAS – Polis Kelantan akan memperketat kawalan di laluan haram sempadan Malaysia-Thailand susulan pembukaan tiga pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Bukit Bunga serta Pengkalan Kubor mulai hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya percaya segelintir individu mengambil kesempatan menggunakan laluan tidak sah berikutan terdapat beberapa syarat khusus untuk keluar masuk di kedua-dua negara.

“Saya percaya mereka akan menggunakan laluan tidak sah ini bagi mengelak daripada membayar pas sempadan dan insurans serta mematuhi pelbagai syarat lain yang ditetapkan.

“Justeru, kita akan memberikan lebih tumpuan kepada laluan haram ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku selepas pembukaan pintu sempadan kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di ICQS Rantau Panjang di sini.

Beliau berkata, pihaknya telah bermesyuarat dengan Ketua-Ketua Polis Daerah di sempadan, Pasukan Gerakan Am dan Polis Marin sebagai persediaan mendepani sebarang kemungkinan selepas sempadan kedua-dua negara dibuka.

Muhammad Zaki juga berkata, sepanjang Op Selamat 18 di Kelantan, sebanyak 5,092 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu, sebanyak 486 kemalangan direkodkan melibatkan 14 kematian sejak 29 April hingga semalam,” katanya. – Bernama