KUANTAN – Pihak polis meneruskan siasatan rakaman video yang berbaur fitnah dan hasutan terhadap agensi penguatkuasaan di Cameron Highlands yang tular di laman media sosial sejak 27 April lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang menyiasat motif penularan video yang dirakam pada 18 Disember 2019 itu.
“Video tersebut juga mengatakan pekebun yang menggaji warga asing terutamanya warga Myanmar secara haram perlu membayar kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa antara RM35 hingga RM40 sehari bagi setiap pekerja.
“Ada juga dakwaan bayaran sehingga RM300 sebulan bagi setiap pekerja dikenakan bagi melindungi aktiviti menggaji pekerja asing.
“Selain itu isu pihak polis akan memaksa untuk memberi sumbangan kepada polis bagi menjalankan aktiviti pekebun atau pasukan ‘red army’ akan dihantar sekiranya gagal memberikan wang tersebut,” katanya pada sidang media di ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Ramli, hasil siasatan mendapati isu yang dipaparkan dalam rakaman tersebut tidak benar.
“Tindakan dua individu dalam video berkenaan yang mencantas kobis adalah dua penguatkuasa sedang menjalankan tugas. Ia adalah rentetan pada 18 Disember 2018 di mana pihak berkuasa membatalkan lesen sementara dan keluarkan notis mengosongkan tanah,” ujarnya.
Jelasnya, operasi dijalankan setelah notis yang dikeluarkan tidak diendahkan pada 28 Ogos 2019 dengan mengeringkan dua buah kolam di kawasan berkenaan manakala operasi kedua dilakukan pada 18 Disember 2019 bagi memusnahkan tanaman seluas 4.107 hektar. – MalaysiaGazette