Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail kononnya tambang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) enam kali ganda harga tiket pesawat menimbulkan persoalan.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak misalnya, mahu mengetahui formula yang digunakan oleh Azan sehingga pemimpin PKR itu mendakwa tiket ECRL enam kali ganda harga tambang pesawat ke destinasi yang sama.

“Siapa yang buat pengiraan untuk dia? Formula siapa yang kamu pakai? Kononnya harga tambang kereta api ECRL akan 6 kali ganda lebih tinggi berbanding tambang pesawat?

“Takkan syarikat ECRL gila? Marah seluruh pantai timur Malaysia sekiranya harga tambang tinggi melambung seperti itu!

“No. Kerajaan dan ECRL tak gila. Yang gila adalah orang PH yang keluarkan kenyataan macam ini?” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu mengakui kos projek ECRL adalah tinggi namun harga tambang akan munasabah dan berpatutan.

Ini kerana menurutnya, sumber pendapatan projek ECRL bukan dari kutipan tambang pengguna sahaja.

Jelas Najib, bahagian terbesar sumber pendapatan dan trafik ECRL adalah dari pengangkutan barang-barang yang merangkumi perjalanan dua hala dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Port Klang.

“Satu lagi sumber pendapatan ialah projek-projek pembangunan transport oriented development (TOD) di sepanjang jajaran ECRL,” beritahu Najib.

Dalam kenyataan di media sosial, Najib berkata, Pakatan Harapan yang pernah mahu membatalkan projek tersebut akhirnya meneruskannya selepas mendapati ECRL menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Projek itu juga didapati boleh menyelesaikan kesesakan trafik jalan raya semasa perayaan besar.

“Dulu dia orang juga yang kata ini projek songlap. Tapi lepas jadi kerajaan, PH kata tak ada songlap pulak. Cuma kos tinggi.

“Lalu PH pun batalkan stesen-stesen, kurangkan jarak jajaran sehingga kos turun dari RM55 bilion ke RM44 bilion.

“Lalu ditambah balik jajaran oleh kerajaan PN sehingga naik ke lebih RM50 bilion tapi masih lebih pendek berbanding pelan asal kerajaan BN dan landasan ECRL tidak lagi sampai ke sempadan negara Thailand,” katanya.

Menurut Najib, akibat tindakan PH projek yang sepatutnya siap pada 2024 hanya akan lengkap pada 2026.

“Maka Rakyat pun perlu bertahan kesesakan trafik setiap kali masa perayaan untuk lebih dua tahun lagi.

“Pembangunan ekonomi negara dan pantai timur juga tergendala selama dua tahun. Well done PH,” kata Najib.

Azan sebelum ini dilaporkan menggesa kerajaan supaya meneliti aspek kemampuan rakyat membayar tambang ECRL.

Menurut Azan, tambang ECRL dijangkakan mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi.

“Rata-rata rakyat negeri-negeri pantai timur menyambut baik pelaksanaan ECRL kerana dijangka dapat selesaikan kesesakan lalu lintas.

“Walaupun, mampu atasi kesesakan tetapi adakah rakyat mampu bayar tambang yang mencecah enam kali ganda tambang pesawat ke destinasi yang sama?

“Adakah negara mampu menanggung jumlah hutang baru yang bakal dibebankan kepada generasi akan datang?” kata Azan.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Azan banding harga tiket kapal terbang RM 9 kot..Kalau tidak kerana PN suruh turun harga tiket kapal terbang pergi malaysia timur, merasalah juga beraya kat kampung, yang sudah lebih 2 tahun tak balik raya.

Comments are closed.