Tok Beng Yeow

KULAI- Dua lelaki dipercayai terbabit membaling botol yang berisi minyak petro, molotov cocktail, ke arah kereta di sebuah rumah di Jalan Pangsa, Bandar Baru Kulai, di sini kelmarin ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, suspek yang berusia 24 dan 48 tahun itu ditahan di sekitar kawasan tersebut kira-kira jam 1 pagi, semalam.

“Penahanan itu untuk membantu siasatan kes membaling botol berisi petrol di sebuah kediaman yang dilaporkan oleh pengadu yang juga pemilik kenderaan dan rumah berkenaan.

“Kami dimaklumkan terdapat sekumpulan lelaki warga tempatan menaiki motosikal lalu membaling botol berisi minyak petrol ke halaman rumah mereka.

“Disebabkan itu juga berlaku kebakaran kecil di halaman rumah mangsa dan kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Beng Yeow, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang mengesan beberapa lagi suspek yang didakwa terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama lima hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah seksyen 435 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette