Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

ALOR SETAR – Hilang fokus antara faktor utama pasukan KDA FC tewas 2-3 kepada Melaka United FC pada aksi Liga Super berlangsung di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, keadaan lebih buruk apabila beberapa pemain sering mengulangi kesilapan mudah sehingga hilang bola sekali gus dimanfaatkan pasukan pelawat dengan jaringan.

“Banyak kesilapan mudah dilakukan dan mereka masih tidak belajar kesilapan yang dilakukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Apabila gol kedua Melaka, pemain mula down (lemah), hilang tumpuan, hilang kawalan bola. Dalam bola sepak kita tahu kena beri tumpuan 90 minit perlawanan dan pemain hilang fokus. Saya kecewa perlawanan malam ini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan itu.

Aidil Sharin turut memohon maaf kepada semua penyokong dan peminat setia KDA FC kerana gagal memberikan persembahan dan keputusan diharapkan.

“Mereka (penyokong) jangkakan kami bangkit pada perlawanan ini dan dapat tiga mata. Tapi kami tidak dapat lakukan, maaf buat peminat dan mungkin pihak pengurusan kena tengok sesuatu,” katanya.

Kekalahan pada tangan Melaka memberikan tekanan berganda kepada Kedah yang sebelum ini tewas 0-4 kepada Sabah dan 1-4 kepada Selangor FC.

Sementara itu, penolong jurulatih Melaka United, Mohd Asri Ninggal memuji semangat juang anak buahnya yang berhempas pulas mahu mencipta kemenangan.

Beliau berkata, pertukaran beberapa pemain di 20 minit terakhir memastikan pasukannya berjaya mendominasi permainan, seterusnya mengucar-ngacirkan pertahanan Kedah hingga menjaringkan gol.

“Saya tengok 20 minit akhir Kedah macam pancit, jadi saya buat pertukaran pemain hingga berhasil mengawal semula permainan. Apa yang penting dan terbukti, pemain telah mengikut taktikal diberikan dan mereka bermain bersunguh-sungguh hingga kita menang malam ini,” katanya. – Bernama