ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Rakaman audio bahasa Mandarin yang tular mendakwa kononnya kereta milik Ketua Polis Daerah Sentul telah dicalar dan cermin dipecahkan adalah insiden lama yang berlaku pada 2018.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurut beliau, pihak menerima satu laporan polis berhubung rakaman audio tular itu pada petang Sabtu lalu dan hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 7 April 2018 pada jam lebih kurang 12.30 tengahari di Jalan Permai 6 Jinjang Utara, di ibu negara.

“Kejadian ini telah berlaku empat tahun yang lalu dan ianya melibatkan kereta milik ahli keluarga salah seorang pegawai kanan polis berbangsa Cina yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

“Dalam kejadian tersebut, cermin kereta sebelah kiri penumpang hadapan telah dipecahkan dan terdapat sedikit kesan calar di sebelah kiri kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, insiden itu telah diselesaikan dengan baik oleh pegawai kanan polis tersebut kerana suspek yang merupakan seorang warga emas telah engaku akan kesalahan melalukan kesalahan tersebut dan bersetuju membayar ganti rugi.

“Oleh demikian, pihak polis menafikan dakwaan bahawa kereta milik Ketua Polis Daerah Sentul telah dipecahkan cermin dan dicalarkan di bahagian pintu sepertimana yang tersebar menerusi WhatsApp.

“Pihak polis kini sedang dalam usaha mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman audio tersebut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahannya.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman audio ataupun video yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di dalam negara ini dan sebarang maklumat berkaitan insiden ini boleh disalurkan menerusi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” tegasnya.-MalaysiaGazette