Foto: Malaysian Football League

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC terlepas peluang untuk merampas kedudukan teratas Liga Super, selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Melaka United di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Skuad Sang Kenari terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan kencang penyerang import dari Cameroon, Ronald Ngah pada minit ke-20, selepas menerima hantaran daripada Muhammad Syafiq Ahmad.

Namun, Melaka yang dikenali sebagai skuad Sang Kancil, hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Ifedayo Olusegun, yang merupakan jaringan sulung penyerang dari Nigeria itu bagi musim ini.

Muhammad Syafiq kembali meletakkan Kedah di hadapan, apabila melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-37, tetapi kelebihan itu dinafikan oleh jaringan Emmanuel Oti pada minit ke-79, akibat kesilapan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Ifedayo kemudian muncul wira Melaka apabila menanduk masuk hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha pada masa kecederaan babak kedua untuk menamatkan aksi dramatik itu dengan kemenangan kedua berturut-turut musim ini.

Sementara itu, Negeri Sembilan berjaya melonjak ke kedudukan pertama carta liga selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching.

Sarawak, yang sedang bergelut di zon penyingkiran, terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Boris Kok pada minit ke-51, sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Herold Goulon pada minit ke-64 selepas Gonzalo Soto mengasari pemain kelahiran Ghana, David Mawutor di dalam kawasan penalti.

Selang lima minit kemudian (min 69), skuad kendalian K Devan berjaya meraih jaringan kemenangan menerusi penyerang import dari Brazil Matheus Alves, yang berjaya melakukan larian solo dan mengatasi tiga pemain Sarawak sebelum merembat masuk bola ke gawang.

Keputusan hari ini menyaksikan Negeri Sembilan menduduki tangga pertama dengan 14 mata selepas enam perlawanan, diikuti juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai 12 mata selepas empat aksi, Sabah (12 mata, enam perlawanan) dan KDA (12 mata, tujuh perlawanan).

Melaka pula berjaya menjauhkan diri daripada zon penyingkiran apabila melonjak dua tangga ke tempat kelapan dengan tujuh mata daripada enam perlawanan, manakala Sarawak kekal di tempat ke-11 dengan empat mata selepas tujuh aksi. – Bernama