Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa bersama rakannya.

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Tahun 6 maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya hilang kawalan selepas terlanggar pembahagi kiri jalan di Jalan Spice Village, Amanjaya, di sini, semalam.

Kejadian jam 11.15 malam itu menyebabkan Mohamad Nor Alif Firdaus Afzanizam, 12, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa bersama rakannya menunggang motosikal jenis SYM itu bergerak laju dari arah Taman Spice Village 1 menghala ke Taman Kelisa.

“Bagaimanapun dalam perjalanan itu penunggang motosikal (mangsa maut) dikatakan telah melanggar pembahagi kiri jalan sebelum hilang kawalan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar tercampak ke tengah jalan selain mengalami kecederaan parah di kepala.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya mengalami kecederaan di kepala dan badan itu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Zaidy. – MalaysiaGazette