BERA – Pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera hari ini dihidangkan dengan 41 juadah termasuk 5,000 batang lemang
Sebanyak 32 gerai diwakili oleh cawangan dan kampung menyediakan pelbagai hidangan.
Walaupun bilangan tatamu ramai namun penganjuran rumah terbuka itu berjalan lancar memandangkan juadah disusun ke dalam mangkuk dan pinggan polisterin dengan pengunjung hanya perlu beratur mengambilan makanan tanpa perlu berebut.
Fitratallah Abdul Rahman,29, dan isteri, Nurul Huda Md Noh, 30, yang berkunjung ke rumah terbuka itu berkata, mereka menghadirinya setiap tahun kecuali dua tahun lalu masa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
“Menu-menu yang disediakan memang sedap dan cukup untuk ribuan pengunjung kali ini memang sangat meriah,” katanya.
Sementara itu Naib Ketua UMNO Paya Besar Datuk Umar Arbain Dollah berkata, beliau sanggup memandu selama hampir tiga jam untuk beraya dengan pemimpin negara pada tahun ini.
“Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kali ini memang meriah dengan tema Keluarga Malaysia cukup bermakna kepada rakyat Pahang.
“Semua bangsa ada termasuk masyarakat Orang Asli juga hadir memeriahkan dan beruntung kita dapat ahli Parlimen Bera merangkap Perdana Menteri Malaysia.
Salmah Nordin, 45, berkata, sebagai rakyat Bera belaiu bersyukur kerana dapat beraya dalam suasana yang meriah pada tahun ini.
“Sejak dari dulu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Ahli Parlimen Bera pada 2004 sehingga kini, kami sentiasa menantikan jamuan raya setiap tahun.
“Cuma dua tahun masa PKP sahaja kita tiada jamuan raya, kali ini betul-betul beraya,” katanya. – MalaysiaGazettte