MOSCOW – Rusia tidak berhasrat menggunakan senjata nuklear di Ukraine, kata jurucakap Kementerian Luarnya.
Ditanya mengenai dakwaan media barat tentang kemungkinan penggunaan senjata nuklear pada peperangan Rusia-Ukraine, Alexey Zaytsev yang menyifatkannya sebagai ‘pembohongan yang disengajakan’ berkata, spekulasi seumpama itu datang dari barat dan ia bukan pertama kali berlaku.
“Kami berulang kali menyangkal mengenai kemungkinan menggunakan senjata nuklear oleh Rusia dalam operasi ketenteraan khas, ia merupakan penipuan yang disengajakan.
“Rusia berpegang teguh pada prinsip bahawa tiada pemenang dalam peperangan nuklear dan ia tidak seharusnya dilakukan,” kata Zaytsev seperti dipetik agensi berita, Anadolu.
Beliau mengingatkan bahawa negara-negara yang mempunyai nuklear, atas inisiatif Rusia, mengesahkan kepatuhan kepada prinsip tidak melakukan perang nuklear.
“Pada tahun lalu, Rusia berjaya meyakinkan Amerika syarikat (AS), dan kemudian lima negara kuasa nuklear, untuk mengesahkan komitmen terhadap prinsip ini, ” kata Zaytsev
Katanya, beliau sedar spekulasi seperti itu boleh menggambarkan barat membantu Ukraine dengan melakukan provokasi terhadap Rusia.
“Sebarang provokasi boleh dijangkakan dari barat dan Ukraine, Kami perlu bersedia terhadap sebarang perkembangan media dan di lapangan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 3,280 orang awam terbunuh dan 3,451 lagi cedera di Ukraine sejak Rusia melancarkan perang ke atas negara tersebut pada 24 Februari lalu, menurut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Angka sebenar korban dan cedera dijangka lebih tinggi.
Lebih 5.7 juta orang telah meninggalkan Ukraine dengan 7.7 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut data agensi pelarian PBB. – Agensi