Bot dinaiki PATI ditahan oleh TLDM malam tadi di perairan Johor.

KOTA TINGGI – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh perairan negara melalui jalan laut malam tadi.

TLDM dalam kenyataan berkata, kesemua PATI berkenaan ditahan kira-kira pukul 9.45 malam di perairan Johor Selatan iaitu di lokasi 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia.

Mereka terdiri daripadaa lapan lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia lingkungan 20-an hingga 40-an.

Sembilan PATI diberkas TLDM kerana menceroboh perairan negara.

Menurut kenyataan TLDM, sistem  Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah berjaya mengesan sebuah bot yang mencurigakan dengan berkelajuan tinggi bergerak dari Pulau Batam, Indonesia.

Area Control Centre (ACC) Johor kemudian telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut.

PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op Merpati untuk soal siasat dan ujian saringan Covid-19.

Kesemua PATI yang diberkas diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut.-MalaysiaGazette