Melvin Chia

KUALA LUMPUR – Ketiadaan program pembangunan untuk sukan snuker di negara ini sangat membimbangkan.

Presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) Melvin Chia berkata program pembangunan terakhir dijalankan telah tamat sedekad lalu dan masa depan sukan itu dilihat malap tanpa penemuan bakat baharu.

Beliau berkata, MSBF mempunyai rekod 100 peratus sumbangan pingat dalam Sukan SEA sejak edisi 2001 di Kuala Lumpur, yang berbeza hanyalah warna pingat dan atlet mereka turut meraih perak Sukan Asia, masing-masing satu di Doha 2006 dan satu di Guangzhou 2010.

“Program (pembangunan) terakhir bermula pada 2002 dan pemain senior sudah semakin berumur. Kita melaksanakan program pembangunan belia dengan sokongan Majlis Sukan Negara (NSC) dan ketua pengarahnya ketika itu Datuk Mazlan Ahmad memberi kami sebuah pusat latihan di Bukit Jalil.

“Program tersebut bagaimanapun dikeluarkan oleh NSC pada 2012 dan pusat kami telah diberi kepada sukan lain.

“Sejak 2012 hingga 2019, kami tidak mempunyai pusat latihan dan terpaksa berpindah dari satu pusat snuker swasta ke satu pusat untuk latihan para atlet kami,” katanya kepada Bernama.

Menurut Melvin sepanjang tempoh tujuh tahun itu, tiada elaun latihan diperuntukkan kepada atlet dan pihak persekutuan cuma menyediakan apa yang mampu dalam aspek pembangunan, memandangkan agensi berkaitan hanya membantu secara ad hoc semasa temasya sukan.

Katanya, MSBF kemudiannya berjaya membuka pusat latihan kecil di Sunway untuk memulakan semula program mereka, tetapi terpaksa ditutup susulan pandemik COVID-19 dan kekurangan sokongan daripada badan berkaitan.

“Kami telah mengumpul hutang yang besar ekoran bil utiliti dan sewa tertunggak untuk lebih 15 bulan. Selepas banyak kali memohon kepada NSC, mereka telah membantu dengan menyumbang dana kepada kami untuk membayar sebahagian daripada bil yang tertunggak.

“Menerusi permohonan terkini kepada Jawatankuasa Pengurusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kami dapat membuka semula pusat tersebut untuk atlet memulakan latihan dan persediaan bagi Sukan SEA Hanoi (dari 12-23 Mei),” tambahnya.

Melvin menekankan sekiranya program pembangunan tidak dilaksanakan dan disokong oleh agensi berkaitan, Malaysia mungkin ketandusan atlet untuk bertanding bagi meraih pingat pada peringkat serantau dalam masa lima tahun akan datang.

Beliau berkata persepsi negatif yang menyelubungi sukan itu di negara ini, berikutan pusat snuker kadangkala dikaitkan dengan aktiviti haram dan perjudian turut menyukarkan usaha mengumpul dana, walaupun menurut Melvin sukan itu adalah ‘permainan lelaki budiman’.

Pada Sukan SEA Filipina 2019, Malaysia memenangi emas snuker doubles lelaki menerusi Moh Keen Hoo-Lim Kok Leong dan perak dalam acara singles menerusi Keen Hoo. – MalaysiaGazette