Seorang lelaki OKU meninggal dunia dalam kebakaran di Apartmen Desa Bayan, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) maut dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Apartment Desa Bayan, Jalan Merbah di sini, hari ini.

Mangsa, Nur Ikmal Aiman Shakrisham, 18,  ditemui dalam sebuah bilik di dalam rumah berkenaan dalam keadaan tertiarap selain badannya melecur dijilat api.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.59 pagi. 

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dan BBP Seri Balik Pulau bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

“Kita padamkan api untuk lakukan pemeriksaan sebelum menemui mangsa dalam satu bilik di rumah itu.

“Keadaan mangsa terbakar hampir 80 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya hari ini.

Mayat mangsa diserah kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Sakrisham ditenangkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin susulan kehilangan anaknya dalam kebakaran.

Sementara itu, bapa mangsa, Shakrisham Mohamad, 50, berkata, dia keluar bekerja pada jam 6.40 pagi sebelum dikejutkan dengan berita rumahnya terbakar.

“Pagi tadi sebelum nak keluar pergi kerja keadaannya baik seperti sedia kala.

“Malah rutin kami setiap hari sebelum saya pergi kerja masing-masing akan memohon maaf dan tak sangka itu salaman terakhir kami,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Difahamkan, Shakrisham baru kehilangan isterinya pada Mac lalu akibat barah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast