Polis telah menahan seorang remaja berusia 19 tahun yang dikatakan terlibat dalam kes penipuan sewaan tapak bazar Ramadan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang remaja berusia 19 tahun yang dikatakan terlibat dalam kes penipuan sewaan tapak bazar Ramadan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, remaja berkenaan merupakan suspek utama bagi kes berkenaan.

Pada 6 Mei lalu, pihaknya telah menahan suspek yang juga pemilik akaun dalam kes itu.

“Suspek ditahan reman bermula 7 hingga 10 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahidisham, pada 30 Mac hingga 14 April lalu, pihaknya menerima enam laporan berkenaan kes penipuan dalam urusan sewaan Tapak Bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil.

Tawaran dikatakan dibuat melalui media sosial dan mangsa menghubungi suspek dan membuat pembayaran ke dalam akaun suspek.

“Di dalam kes-kes tersebut, mangsa telah dijanjikan akan memperoleh tapak dengan bayaran pendahuluan antara RM1,500 sehingga RM2,700. Jumlah keseluruhan kerugaan sebanyak RM11, 300.

“Kesemua mangsa menyedari ditipu selepas penganjur bazar tersebut mengesahkan bahawa Program Bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak diteruskan dan mereka tidak menerima wang pendahuluan oleh mangsa-mangsa,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 20 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru polis menasihatkan orang ramai yang telah ditipu berkaitan sewaan tapak bazar Ramadan yang sama supaya tampil membuat laporan atau menghubungi Asisten Janarthanan Nair di talian 012-5734374.- MalaysiaGazette