KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada bulan Mac 2022 berjumlah RM144.6 bilion, tumbuh sebanyak 13.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Malah, nilai jualan ini juga meningkat sebanyak 9.8 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan nilai jualan pada bulan Mac 2022 dipacu oleh subsektor produk peralatan elektrik & elektronik (25.9%) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik & optikal.

Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman & tembakau (14.4%) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk petroleum, kimia, getah & plastik (6.3%) terutamanya dalam industri pembuatan kok & produk petroleum bertapis.

Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.2 peratus dari jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 16.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 7.1 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun 2021.

Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan trend eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing- masing merekodkan peningkatan 11.2 peratus dan 6.4 peratus.

Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Mac 2022 adalah seramai 2,287,325 orang, meningkat 2.4 peratus berbanding 2,233,545 orang pada Mac 2021 disumbangkan oleh produk elektrik & elektronik (5.0%), produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (2.9%) dan produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (2.3%).

Jumlah gaji & upah yang dibayar berjumlah RM7,842.9 juta, meningkat 4.4 peratus atau RM328.6 juta pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 11.2 peratus kepada RM63,222 berbanding bulan yang sama tahun 2021 (Mac 2021: RM56,831).

Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,429 pada bulan Mac 2022.

Pada suku tahun pertama 2022, nilai jualan sektor Pembuatan meningkat 12.8 peratus kepada RM415.3 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam produk peralatan elektrik & elektronik (17.6%), produk makanan, minuman & tembakau (16.3%) dan produk petroleum, kimia,
getah & plastik (9.7%).

Bilangan pekerja dan gaji & upah masing-masing meningkat 2.4 peratus dan 4.1 peratus pada suku tahun pertama 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast