Dr. Nor Azimi Yunus

Kes KUANTAN –  Pahang merekod peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak enam kali ganda kepada 1,145 kes tahun ini hingga 7 Mei lalu.

Angka itu melonjak berbanding 190 kes pada tempoh sama tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 sehingga 6 tahun  iaitu 1,093 kes (95.4%), diikuti oleh kumpulan umur 7 hungga 12 tahun 43 kes (3.8%).

“Manakala  sembilan kes (0.8%) berumur lebih 12 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Daripada 1,145 kes itu, 138 kes (12.1%) adalah kes berlaku daripada penularan di taska, tadika, prasekolah dan 1,007 (87.9%) kesa lagi terjadi secara sporadik.

Jelasnya, penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes berpunca daripada Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus71 (EV71).

“Penyakit ini boleh menjangkiti semua peringkat umur terutamanya kanak-kanak yang berumur  lima tahun dan ke bawah.

“Virus ini boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah

Nor Azimi berkata, hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10  hari. – MalaysiaGazette