Mahinda Rajapaksa. Foto Reuters

COLOMBO – Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa melepaskan jawatannya semalam bagi membolehkan adik lelakinya, yang juga Presiden Gotabaya Rajapaksa memilih Kerajaan Perpaduan Nasional.

Keputusan itu dibuat ketika Sri Lanka menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam sejarahnya, lapor berita PTI.

Tindakan tersebut diputuskan beberapa jam selepas penyokongnya menyerang penunjuk perasaan antikerajaan di luar pejabat Gotabaya yang mencederakan sekurang-kurangnya 78 orang.

Insiden itu mendorong pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di seluruh negara.

Menerusi twitter, Mahinda menulis, “Berkuat kuasa serta-merta saya telah menyerahkan peletakan jawatan saya sebagai perdana menteri kepada presiden.”

Dalam surat peletakan jawatannya, Mahinda berkata “Saya menulis untuk memaklumkan bahawa saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan perdana menteri berkuat kuasa serta-merta.

”Ini selaras dengan permintaan anda yang dibuat pada mesyuarat Kkabinet khas yang diadakan pada 6 Mei, yang i mana anda menyatakan bahawa anda berhasrat untuk menubuhkan kerajaan sementara semua parti”.

Mahinda berkata, beliau “bersedia untuk melakukan apa-apa pengorbanan walaupun pada masa hadapan untuk membantu rakyat dan kerajaan mengatasi krisis sekarang.”

Selain Mahinda, sekurang-kurangnya dua menteri Kabinet juga telah meletakkan jawatan, lapor PTI. – Indian Express (https://indianexpress.com/article/world/sri-lankan-prime-minister-mahinda-rajapaksa-resigns-7908244/)