Najib Razak

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan merayu kes penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes cukai tertunggak berjumlah RM1.69 bilion oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Turut mendapat perintah sama ialah anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin yang juga berdepan dengan kes tunggakan LHDN sebanyak RM37.6 juta.

Tiga panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan Najib dan Mohd Nazufuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

 “Adalah keputusan sebulat suara kami bahawa keperluan Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 telah dipenuhi dari segi Lampiran 1 (Usul untuk kebenaran merayu),” putus mereka hari ini.

Turut bersidang hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Pada 22 Julai dua tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus itu sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, pihak litigasi mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette