Orang awam membeli tiket dan menunggu ketibaan pesawat AirAsia yang ditunda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang. MUHD NA'IM, 09 MEI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang penumpang AirAsia mempertikaikan tindakan syarikat penerbangan tambang murah itu yang sewenang-wenangnya menjadualkan semula penerbangan pada 2 Mei lalu.

Menerusi hantaran Facebook, penumpang yang dikenali Anna Jiana meluahkan rasa kecewa kerana jadual penerbangannya asal pada pukul 6 pagi ditukar ke 7.35 malam pada hari sama.

Jelas beliau, tindakan AirAsia itu merosakkan perancangannya untuk berada di kampung lebih awal apatah lagi membeli harga tiket setanding harga penerbangan ke luar negara.

“Makin lama makin teruk pula AirAsia ini. Jian sengaja beli flight 6 pagi sebab mau sampai awal di kampung. Sekali pula kena reschedule 7.35 malam sudah . Suka hati je dia tau… Sudah la tiket mahal macam pergi overseas,” tulis di media sosialnya.

Pada hantarannya itu, beliau juga memuatnaik emel makluman daripada AirAsia mengenai penjadual semula penerbangannya pada 2 Mei lalu.

Emel makluman penjadualan semula penerbangan oleh AirAsia.

Sejak akhir bulan lalu, beberapa aduan dan rungutan pengguna yang tidak berpuas hati dengan penjadualan semula penerbangan Air Asia telah disiarkan melalui media sosial.

Malah semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna berhubung isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan domestik melibatkan syarikat penerbangan Air Asia.

Mengambil maklum rungutan, aduan dan keluhan pengguna, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, isu kelewatan penerbangan AirAsia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlaku sejak hujung bulan lepas dan masih berlanjutan.

“KPDNHEP akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan MOT (Kementerian Pengangkutan) bagi merungkai permasalahan ini, demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter rasminya.

Nanta memaklumkan pengguna perkhidmatan penerbangan berhak menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan namun tertakluk kepada beberapa faktor dan punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada laman Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Pampasan itu merangkumi makanan, bil panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama dua jam atau lebih: penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama lima jam atau lebih; dan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif jika penerbangan dibatalkan.

Pengecualian bagi mendapatkan pampasan adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangka.

“Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi MAVCOM,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

AirAsia mohon maaf, kekurangan pesawat ketika ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast