KUALA LUMPUR – Satu kejadian menakutkan berlaku ketika aksi Kumpulan B acara bola sepak lelaki yang melibatkan pasukan Kemboja B-23 menentang Laos B-23 semalam apabila seorang pemain Kemboja, Phat Sokha hampir maut tertelan lidah akibat berlanggar dengan salah seorang pemain Laos pada separuh masa kedua.
Sejurus insiden itu, pemain Laos, At Viengkham bertindak memberi bantuan kecemasan dengan memasukkan tangannya ke mulut Sokha dan membenarkan pemain itu gigit jarinya untuk mengelakkan Sokha tertelan lidahnya sendiri.
Beberapa minit selepas itu, pasukan perubatan mengesahkan Sokha telah berjaya diselamatkan dan pemain tersebut dibenarkan meneruskan perlawanan sekaligus mengundang rasa terkejut dalam kalangan penyokong.
Biasanya pemain yang mengalami kecederaan seperti itu dikeluarkan sebagai langkah keselamatan sekiranya insiden itu berulang lagi.
Bagaimanapun, tindakan pemain Laos, At Viengkham menyelamatkan nyawa Sokha telah mendapat pujian daripada peminat bola sepak di Asia Tenggara.
Jika tidak kerana bantuan pantasnya, Kemboja mungkin akan kehilangan penyerang muda yang paling berbakat itu.
“Viengkham layak dapat penghargaan dan anugerah atas keberaniannya menyelamatkan nyawa pemain lawan.
“Ini semangat kesukanan tinggi yang cukup bernilai dari pemain Laos,” tulis komen salah seorang penyokong Kemboja di laman facebook ASEAN Football.
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Keisuke Honda itu mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Laos dan kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan B belakang Thailand. – MalaysiaGazette