Ladang panel solar PV yang dijadikan kebun misai kucing telah menjadi rujukan dunia iaitu "The Largest Herbal Agrivoltaic Cultivation for Natural Cooling Mechanism" Projek Agrivoltaic@ solarfarm UPM. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2022.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan ladang solar photovoltaic (PV) seluas 2.023 hektar bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dengan menanam 25,000 polibeg misai kucing – herba yang berpotensi tinggi di pasaran.

Projek yang diketuai oleh Pengarah Projek Agrivoltaic@ solarfarm, Ir. Dr. Mohammad Effendy Ya’acob berkata, projek tersebut merupakan satu projek tanaman terbesar seumpamanya di Malaysia.

Menurutnya, penggunaan ladang solar PV sebagai kawasan aktiviti pertanian berskala besar itu dapat menangani isu Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan pajakan tanah pertanian yang telah tamat tempoh.

“Negara ini mengalami ketandusan tanah agrikultur apabila banyak tanah tersebut telah ditukar taraf kepada tanah pembangunan.

Dr. Mohammad Effendy Ya’acob

“Oleh itu, kaedah yang dilakukan di sini mampu membantu meliputi industri solar dan dalam pada masa sama, juga membantu industri pertanian.” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Malaysian Book Of Records, Largest Herbal Agrivoltaic Cultivation for Natural Cooling Mechanism, Ladang Solar UPM.

Penyelidikan itu memfokuskan kepada mengoptimumkan penggunaan ruang bawah solar panel serta membantu menyejuk panel solar bagi meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut beliau, projek berskala besar itu selari dengan hala tuju Kampus Hijau UPM dan memperkukuhkan kedudukan UI Green Metriks dalam kalangan universiti di seluruh dunia.

Pokok misai kucing yang ditanam di bawah panel solar PV. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2022.

Jelas Effendy, selain misai kucing, kawasan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di ladang solar PV itu turut ditanam dengan beberapa jenis pokok komersial bagi mengkaji kesesuaian untuk ditempatkan di bawah panel solar.

Antara tanaman yang sedang diuji kaji itu ialah rumpai, serai, halia, kunyit dan bayam serta tanaman lain.

Selain itu, penyelidik yang terlibat turut melakukan projek perintis menternak ayam.

“Bukan sahaja kita boleh tanam pelbagai tanaman, kita pun boleh menternak ayam, lebih-lebih lagi di masa isu harga ayam pun tengah hangat diperkatakan”

“Melalui kaedah ini, kita boleh menjadikan tahi ayam sebagai baja atau medium pertumbuhan tanaman-tanaman yang ada,” tambahnya.

Jelas Effendy, projek tersebut bernilai sekitar RM1.325 juta termasuk kos penggunaan robot pemantau yang dianggarkan bernilai RM100,000. – MalaysiaGazette